SeLaMaT DaTaNg Ke BLog DuNiA SuKaN....

Sunday 17 July 2011

Reds hebat kita menyengat

KUALA LUMPUR – Kalah tapi ada peningkatan. Itu perwatakan yang dipamerkan skuad kebangsaan apabila tewas 3-6 kepada Liverpool dalam aksi persahabatan dalam Siri Jelajah Asia kelab itu di Stadium Nasional, semalam.
Walaupun kalah, pujian harus diberikan kepada skuad Datuk K. Rajagobal yang bangkit selepas ketinggalan 4-1 pada babak kedua untuk merapatkan jurang gol kepada 4-3.
Namun akibat kelalaian benteng pertahanan, Malaysia akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Liverpool, apabila melepaskan dua gol pada masa kecederaan.
Safee Sali paling mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas dimasukkan pada babak kedua.
Keupayaan meledak dua gol sewajarnya menjadi amaran kepada Singapura, apabila berdepan Malaysia pada kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini.
Aksi menarik semalam bermula dengan skrip yang sama ketika menentang Arsenal Rabu lalu berulang buat Harimau Malaya, apabila Liverpool mendahului hasil sepakan penalti pada minit ke-24.
Ia bermula apabila pemain pertahanan Fadhli Shas dipersalahkan kerana menjatuhkan Andy Carroll.
Namun, keputusan pengadil Nagor Amir Noor Mohamed memberikan penalti mencetuskan kontroversi kerana Carroll yang melanggar Fadhli.
Pemain yang baru dibeli Liverpool, Charlie Adam mudah menyempurnakan penalti, walaupun sepakan pertamanya dibatalkan
Ketinggalan satu gol tidak melenyapkan semangat pemain negara sebaliknya bangkit mengikat kedudukan apabila ketua pasukan, Safiq Rahim menggegar jaring lawan dengan gol menarik hasil sepakan bebas.
Ia seakan-akan menjadi tradisi buat Safiq apabila sebelum ini menjaringkan gol yang hampir sama iaitu pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 pusingan pertama menentang Taiwan, di mana Malaysia menang hasil kelebihan gol di tempat lawan.
Liverpool akhirnya membuktikan kehebatan sebenar, ditambah dengan kelalaian pertahanan Fadhli dan Muslim Ahmad, apabila menjaringkan gol pada minit ke-64 dan 65 melalui David Ngog untuk menjadikan kedudukan 3-1.
The Reds menambah jaringan keempat pada minit ke-74, melalui Maxi Rodriguez namun seperti harimau luka, Malaysia berjaya merapatkan jurang 4-3 hasil kehebatan Safee, yang tenang memperdayakan benteng pertahanan Liverpool.
Hajat untuk Harimau Malaya menjaringkan gol penyamaan berkecai apabila kelalaian pertahanan Malaysia membolehkan Rodriguez dan Dirk Kuyt menambah gol Liverpool pada masa kecederaan.

Sumber :Utusan Malaysia

Wednesday 13 July 2011

Awas Gunners!



KUALA LUMPUR - Status selaku gergasi Liga Perdana England - Arsenal bukan sesuatu yang menakutkan buat kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang menyeru rakan sepasukannya agar mempersembahkan aksi terbaik malam ini.
Menjadikan pengalaman berdepan Manchester United dua tahun lepas sebagai pengalaman terbaik, perancang utama pasukan negara itu yakin Malaysia mampu membuat kejutan ke atas Arsenal.

''Ya, memang benar mereka mempunyai ramai pemain bertaraf dunia tetapi jangan terlalu awal menidakkan peluang kami untuk menyaingi Arsenal.
''Namun, saya harap rakan sepasukan boleh membuktikan sesuatu dan jangan terlalu menghormati lawan dalam perlawanan esok (hari ini).
''Selain itu, apa yang penting, berhadapan dengan pasukan lawan seperti Arsenal, kami boleh dapat belajar sesuatu daripada cara permainan mereka.
''Kami harus mengambil kesempatan terbaik ini, ramai pemain luar di sana mahu berhadapan dengan pasukan yang hebat seperti Arsenal, jadi saya berjanji akan menampilkan persembahan terbaik," katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional, semalam.

Skuad negara yang kini dalam rangka persiapan menghadapi Singapura pada kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini juga dijadual berdepan Liverpool pada 16 Julai ini.
Bagi penyerang, Abdul Hadi Yahaya yang dijangka menjadi pilihan utama jurulatih Datuk K. Rajagobal untuk digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha selepas kecederaan Safee Sali, mengakui dia sudah tidak sabar lagi beraksi pada hari ini jika diberikan peluang.

''Menjelang perlawanan berhadapan dengan Singapura, saya anggap ini adalah persiapan paling bagus untuk meningkatkan keyakinan kami.
''InsyaAllah, jika diberikan peluang turun, saya berharap dapat menjaringkan gol untuk pasukan negara," katanya yang merupakan penyokong setia pasukan Chelsea.
Pada perlawanan hari ini, Rajagobal dijangka menurunkan Mohd. Shakir Shaari untuk beraksi di bahagian tengah bersama Safiq.
Khairul Fahmi Che Mat juga akan kembali mengawal gawang negara daripada Sharbinee Allawee selepas pulih daripada kecederaan bahu.

Sumber:Utusan Malaysia

Szczesny hormati skuad negara

KUALA LUMPUR - Penjaga gol utama Arsenal, Wojciech Szczesny berkata, dia sudah bersedia berhadapan skuad Malaysia walaupun mengakui kurang arif mengenai Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal.
Jelas Szczesny, dia hanya mendapat maklumat yang rata-rata pemain skuad negara masih muda dan berumur di bawah 24 tahun.
Pun begitu, dia sesekali tidak akan memandang rendah terhadap keupayaan Malaysia yang diramal memberikan tentangan sengit kepada Arsenal.
''Sebelum kedatangan kami di sini, kami sempat diberitahu kesebelasan utama Malaysia terdiri daripada pemain-pemain muda.
''Saya jangkakan pasukan Malaysia akan memberikan kami satu ujian sukar pada perlawanan malam esok (hari ini).
''Namun, saya dan rakan-rakan akan menghadirkan satu persembahan terbaik untuk menang dan menghiburkan para peminat kami di sini," katanya secara eksklusif kepada Utusan Malaysia di Mid Valley, semalam.
Dia sebelum itu menghadiri program 'Gunners Challenge' anjuran Nike bersama tiga lagi rakan sepasukannya iaitu Jack Wilshere, Theo Walcott serta Alex Song dan turut meluangkan masa bertemu para peminat selama dua jam.
Szczesny merupakan penjaga gol nombor satu Arsenal musim lalu selepas kecederaan yang dialami oleh Lukasz Fabianski serta kemerosotan prestasi Manuel Almunia.
Dalam pada itu, penjaga gol yang berasal dari Poland itu menambah, dia terkejut dengan sambutan yang diterimanya sepanjang dua hari berada di Malaysia.
''Sambutan yang diterima daripada penyokong di sini cukup menakjubkan, tidak sangka kami mempunyai peminat yang ramai di sini.
''Malahan, kemudahan yang disediakan dan layanan diberikan oleh tuan rumah semuanya nampak baik," katanya.

Sumber:Utusan Malaysia

Harimau Muda A ke Liga Singapura, Young Lions ke Liga Super

12/07/2011 9:49pm

PETALING JAYA 12 Julai – Bermula musim 2012, skuad Harimau Muda A akan bersaing dalam Liga Singapura, sementara pasukan Young Lions dari Singapura akan beraksi dalam liga elit Malaysia, Liga Super.
Musim depan juga bakal menyaksikan pertembungan Juara Piala Malaysia menentang juara Piala Singapura, sementara juara Liga Super menentang juara Liga Singapura.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, ketiga-tiga siri pertemuan itu merupakan inisiatif terbaru persatuan induk bola sepak negara dengan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS).
"Kita semua tahu hubungan istimewa FAM dan FAS yang terjalin sejak dahulu.
“Pertukaran skuad muda negara masing-masing untuk bersaing di Liga Malaysia dan Liga Singapura serta pertemuan juara-juara dari kedua-dua negara pasti akan mengembalikan nostalgia lama, terutama persaingan di atas padang,” katanya.
Tengku Abdullah berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama melibatkan kedua-dua persatuan induk bola sepak Malaysia dan Singapura di Wisma FAM di sini hari ini. –

Bernama
Sumber:Utusan Malaysia

Friday 8 July 2011

Zaki, 'kanggaru' emas Sukan SEA

PADA era 90-an, kehebatan olahraga Malaysia pada Sukan SEA tiada tandingan. Tidak kira acara trek mahupun balapan, hampir setiap satunya ada ikon kebanggaan tersendiri. Jika acara 110 meter berpagar Malaysia memiliki Nur Herman Majid, Watson Nyambek dalam acara pecut, Loo Kum Zee dalam acara lompat tinggi, nama Zaki Sadri juga harus terpahat dalam sejarah era tersebut.

Anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu merupakan atlet emas acara lompat jauh dan lompat kijang yang sentiasa meletakkan nama negara di peta dunia, terutamanya di pentas Asia.Di peringkat Asia Tenggara, tiada siapa mampu menggugat Zaki. Tidak keterlaluan jika dikatakan sekurang-kurangnya dua pingat emas telah diraih secara automatik oleh kontinjen Malaysia menerusi Zaki sebelum bermula Sukan SEA. Lapan pingat emas dalam tujuh penyertaan Sukan SEA sejak membuat penampilan pertama pada 1987 di Jakarta, Indonesia, menceritakan kejaguhan Zaki.

"Di Jakarta 1987, ketika itu baru berusia 20 tahun, saya langsung tidak jangka dapat raih emas lompat kijang. Sejak itu saya tidak menoleh ke belakang dan emas kedua muncul dua tahun kemudian di Kuala Lumpur 1989.

"Di Kuala Lumpur, lompatan 16.29 meter masih kekal rekod kebangsaan sehingga hari ini. Ia juga merupakan rekod Sukan SEA pada waktu itu, namun diperbaharui pada 2001.

"Selepas itu di Manila 1991, saya mencuba nasib dalam satu lagi acara iaitu lompat jauh. Agak meletihkan untuk bertanding dalam dua acara, lagi pun teknik lompatan tidak sama.

"Namun usaha dan peluh yang dicurahkan sewaktu latihan berbaloi apabila saya menggondol emas berganda untuk Malaysia.

"Saya juga berjaya mencipta rekod baru Sukan SEA 7.79 meter (diperbaharui pada 2005)," katanya.

Zaki mempertahankan emas berganda di Singapura 1993, namun, segala-galanya tidak kena di Chiang Mai 1995 apabila beliau terpaksa berpuas hati dengan dua pingat perak. Dia mendakwa terdapat cubaan sabotaj oleh pegawai bertugas menyebabkan kekalahannya.
"Beberapa lompatan saya sempurna tetapi diputuskan pegawai sebagai foul. Sungguh kecewa sekali," katanya.

Zaki berjaya membalas dendam dua tahun kemudian di Jakarta 1997, menyaksikan beliau merampas kembali dua emas yang gagal diraih di Thailand, sekali gus menjadikan jumlah kutipan pingat emas peribadinya kepada lapan.Ia sepatutnya penampilan Sukan SEA terakhir, berikutan rancangannya untuk bersara selepas Sukan Komanwel 1998. Namun, kerana ketiadaan pengganti berwibawa, beliau terus menabur bakti untuk Malaysia di Brunei 1999.Namun, tiada lagi kilauan emas daripada Zaki yang ketika itu usianya sudah menjangkau awal 30-an.

"Prestasi saya sudah merosot, ia memang dijangka kerana persiapan saya tidak seperti dahulu. Selepas bersara, saya menghabiskan lebih banyak masa di pejabat, latihan tidak sekerap dulu.

"Syukur saya masih mampu menyumbangkan pingat gangsa acara lompat kijang. Paling menyedihkan saya ialah pada Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2001.

"Saya berazam untuk bersara sepenuhnya dari arena olahraga dengan penuh gemilang di tanah air, tetapi lain pula jadinya. Selepas lompatan kedua, saya tidak dapat meneruskan saingan kerana mengalami kecederaan, Ia sungguh mengecewakan," ujarnya.

Zaki kini bekerja sebagai Penyelaras Sukan Jabatan Korporat Petronas Pantai Timur di Kemaman, Terengganu.Di pentas Sukan Komanwel, Zaki turun bertanding di Auckland, New Zealand, Victoria, Kanada, dan Kuala Lumpur namun beliau nyata bukan tandingan jagoan bertaraf dunia. Zaki merupakan antara empat pelompat terbaik di Asia.

"Sukan Asia 1990 di Beijing adalah pencapaian terbaik saya pada Sukan Asia. Namun kejohanan itu mencetuskan rasa terkilan. Saya berada pada kedudukan pingat gangsa ketika itu, namun dipintas pada lompatan akhir oleh atlet Korea Selatan," katanya.

Selain berkhidmat untuk Petronas, Zaki kini juga bertugas Ketua Jurulatih Olahraga Terengganu sejak 2006.
"Saya cintakan sukan olahraga. Jadi selepas bersara, saya terus mencurahkan tenaga untuk negara.
"Tugas saya ialah mencungkil bakat baru untuk Terengganu yang dapat menyumbang kepada pembangunan sukan olahraga negara.

"Saya mahu melihat atlet Terengganu mewakili Malaysia satu hari nanti," katanya, yang juga merupakan bapa angkat kepada atlet pecut remaja kebangsaan, Zabidi Ahmad.

Sumber: Utusan Malaysia (09.07.2011)

Malaysia Salah Satu Daripada 12 Pasukan Terbaik Asia..

Pasukan Bola Sepak Olimpik Malaysia telah membuktikan yang Malaysia memang merupakan pasukan Asia Tenggara yang digeruni buat masa sekarang. Malaysia menjadi satu-satunya wakil di Asia Tenggara yang melangkah ke peringkat kumpulan kelayakan Olimpik 2012. Kita patut berbangga dengan pencapaian skuad bola sepak negara yang menunjukkan prestasi menakjubkan sejak kebelakangan ni..Malaysia bakal diundi untuk berjumpa dengan gergasi Asia yang lain seperti Australia, Jepun, Korea Selatan, Bahrain dll..

Zaman kegemilangan bola sepak Malaysia dulu bakal menjelma lagi kalau prestasi pasukan Malaysia dapat dikekalkan dan dimantapkan lagi lepas ni. Tak mustahil kita boleh kalahkan pasukan Asia yang selalu ke Piala Dunia seperti Jepun dan Korea Selatan. Memang bukan perkara yang mustahil sebab kita mampu buat sebelum ni. 7 Julai 2011 nanti kita akan tau keputusan undian siapa lawan Malaysia dalam peringkat kumpulan.

Jadual perlawanan seperti berikut:

Perlawanan pertama :  21/9/2011 seterusnya 
Perlawanan ke-2        : 23/11/2011
Perlawanan ke-3        : 27/11/2011
Perlawanan ke-4        : 05/02/2012
Perlawanan ke-5        : 22/02/2012 dan 
Perlawanan terakhir   :14/05/2012

Ni keputusan perlawanan lain:

Oman vs China: 4-1
Emiriah Arab Bersatu (UAE) vs Korea Utara: 2-1
Syria  vs Turkmenistan: 6-2
Qatar vs India: 4-2
Arab Saudi vs Vietnam 6-1
Uzbekistan vs Hong Kong: 3-0
Iraq vs Iran: 2 - 1
Australia vs Yaman: 7-0
Jepun vs Kuwait: 4-3
Korea Selatan vs Jordan: 4-2
Bahrain vs Palestin: 2-2


So, pasukan yang layak sebaris dengan pasukan Malaysia di peringkat kumpulan nanti adalah Jepun, Korea Selatan, Australia, Bahrain, Iraq, Uzbekistan, Arab Saudi, Qatar, Syria, UAE dan Oman. 12 pasukan yang layak ni akan diundi dalam 3 kumpulan. Jadi, setiap kumpulan ada 4 pasukan.

Kalau Malaysia jadi juara kumpulan, secara automatik Malaysia akan ke Sukan Olimpik London 2012 nanti. Tapi kalau Malaysia jadi naib juara kumpulan, Malaysia akan dijadualkan bertemu dengan naib juara kumpulan yang lain untuk merebut slot playoff dan akan berjumpa dengan wakil dari Afrika untuk merebut satu lagi tempat ke Sukan Olimpik 2012 nanti.



Sumber http://www.zuarxpdc.com/#ixzz1RXYb6roA


Friday 1 July 2011

TID dan Sukan

Pengenalan
Identifikasi Bakat adalah satu Proses Penapisan dan Mengenal pasti Bakat Sukan  yang berkemungkinan  berjaya dalam sukan serta membantu menempatkan atlet ke arah jenis sukan  yang bersesuaian(Lawrie Woodman). Ia juga merupakan suatu cara untuk mengenal pasti seseorang yang berpotensi untuk diasah dalam olahraga sehingga ia berhasil seperti mana yang dikehendaki.
Proses Identifikasi Bakat ini dijalankan dengan melalui ujian sama ada dari segi Ujian Anthropometrik iaitu ketinggian berdiri, panjang depa, ketinggian duduk dan berat badan dan juga Ujian Kecergasan iaitu Ujian lari pecut 50m, Ujian Lari ulang Alik 10m, Ujian Larian 800m, Ujian baling peluru 3kg, ujian Jangkauan Melunjur, Ujian Lompat Menegak, ujian Lompat Jauh Berdiri dan Ujian Baling Bola keranjang. Melalui ujian ini maka biasanya akan dapat mengukur potensi seseorang individu tersebut.

Metodologi Ujian
Umumnya, proses Identifikasi Bakat hendaklah mengambil kira semua faktor yang dapat mempastikan kejayaan individu yang berbakat. Faktor itu adalah dari segi penentu prestasi, penentu persekitaran dan Penentu kapasiti perkembangan.
1.    Penentu Prestasi
·         Merupakan metodologi yang diukur berdasarkan bukti-bukti yang diambil dan diukur yang menjelaskan bahawa ianya layak untuk dilatih dalam olahraga sehingga berjaya. Proses ini juga dapat diukur dalam masa yang singkat. Metodologi ini adalah dilihat dari segi fizikal, Antropometri dan psikologikal.
2.    Penentu Persekitaran
·         Merupakan metodologi yang diintreprestasikan daripada pengaruh persekitaran seseorang itu. Aktiviti yang mempengaruhinya untuk bidang olahraga itu hasil pengaruh daripada peluang yang sentiasa wujud dan juga dorongan ibubapa.
3.    Penentu Kapasiti Perkembangan
·         Merupakan metodologi stategi pembelajaran self regulatory.
Namun, kajian ini hanya membataskan hanya dari Penentu Prestasi iaitu Ujian Antropometri dan Ujian Kecergasan Fizikal.

Dapatan dari kajian-kajian lalu
          Program Identifikasi Bakat berdasarkan Model Ziegler & Perleth (1997) & Simonton (1999) ia harus mengambilkira faktor bakat dan kapasiti untuk berkembang. Ia juga harus membezakan antara penentu prestasi dan kapasiti individu untuk berkembang.
          Disamping itu, bakat seseorang itu juga ditentukan oleh ibubapa dan persekitaran.  Sistem dan fungsi ditentukan oleh genetik (Bompa,1986). Selain itu, motivasi dan strategi pembelajaran adalah penentu yang penting kapasiti perkembangan dan mencirikan individu yang mencapai prestasi tertingi dalam sukan (Abott & Collins, 2004).
          Dapatan kajian yang lain, menyatakan bahawa program identifikasi bakat ini  dibatasi oleh beberapa proses kematangan ke atas parameter fizikal dan ia penentu kepada pencarian bakat.

Perbincangan
Dalam bab ini, pengkaji mengemukakan perbincangan tentang perlaksanaan Program Identifikasi Bakat ke atas kumpulan sasaran iaitu murid tahun 6 yang terdiri daripada murid lelaki dan perempuan. Ujian Anthropometrik dan ujian kecergasan telah dijalankan ke atas mereka. Penjelasan keputusan ini juga dibuat berdasarkan dapatan daripada kajian-kajian yang telah dilakukan oleh pengkaji terdahulu.
i.             UJIAN ANTHROPOMETRIK
Hasil kajian dijalankan menyatakan bahawa perlaksanaan program Identifiksai bakat di kalangan murid tahun 6 yang rata-rata berumur lingkungan 12 tahun adalah tidak bersesuaian.
Menurut Roemmlich & Rogol (1995), kanak-kanak akan mengalami situasi di mana

terdapat kanak-kanak yang matang awal (early mature) dan lambat matang (late mature). Ini bermakna kanak-kanak yang matang awal (early mature) lebih tinggi pada semua peringkat akil baligh. Jadi, ketinggian remaja sama ada ketinggian duduk atau ketinggian berdiri tidak boleh dijadikan sebagai pengukur kepada potensi kanak-kanak disebabkan oleh variasi dalam potensi perkembangan semasa dan selepas akil baligh.
          Seterusnya, dari segi peningkatan berat badan. Pada peringkat umur 12 tahun ini juga terdapat murid yang masih lambat peningkatan berat berbanding pada peringkat remaja. Peningkatan berat badan akan mendadak berlaku pada peringkat remaja. Penambahan berat badan akan berlaku antara umur 13 hingga 18 tahun iaitu lebih kurang 40%. Perbezaan berat yang sangat ketara pada peringkat ini menjadi faktor penyebab kepada program Identifikasi Bakat tidak perlu dilaksanakan pada peringkat ini.  
ii.           Ujian Kecergasan
Hasil kajian juga mendapati bahawa pada peringkat umur sebelum akil baligh atau 12 tahun ke bawah program ini masih belum sesuai sekiranya ia melibatkan ketahanan kardiovaskular yang terlalu lama. Ini adalah disebabkan ketidaktersediaan hormon dalam badan dan sistem fisiologinya. Kapasiti fisiologi yang menepati perlu sejajar dengan puncak peningkatan berat dan ketinggian. (Beunnen, Thommis, Maes et.al 2000). Disamping itu, juga perlu sejajar dengan peningkatan jisim tanpa lemak, perkembangan fizikal dan fungsi sistem kardiovaskular dan peningkatan kandungan hemoglobin. Dengan berkadar terus seperti di atas maka barulah tahap ujian kecergasan boleh dilakukan seperti Ujian lari pecut 50m dan  Ujian lari Ulang Alik 10 m. Namun, bagi Ujian Larian 800m adalah tidak sesuai dijalankan kerana ia mempunyai jangkamasa yang panjang dan tidak sesuai dengan tahap kardiovaskular bagi murid tahun 6. Menurut Malina & Bielicki, 1992; keupayaan memecut dan melompat meningkat pada kadar maksimum di antara 14 hingga 15 tahun.  
Seterusnya, program Identifikasi Bakat ini juga perlu dilaksanakan dengan dipengaruhi oleh faktor – faktor hormon. Peningkatan kekuatan murid berkaitrapat dengan peningkatan saiz badan dan peringkat kematangan. Dengan itu, Ujian baling peluru 3kg, Ujian Lompat menegak dan Ujian Lompat Jauh Berdiri tidak perlu dilaksanakan kepada kanak-kanak yang masih belum matang. Kematangan akan mempengaruhi perkembangan otot kanak-kanak di mana peningkatan hanya ketara berlaku semasa akil baligh. Jadi, pada umur 12 tahun sama ada lelaki atau perempuan, sesetengah daripada mereka belum lagi melalui akil baligh jadi program ini akan hanya memberi peluang kepada awal matang. Ia juga diperkukuhkan dengan pendapat Roemmlich & Rogol, 1995; Early Mature (awal matang) mempunyai jisim otot yang lebih tinggi berbanding Late mature (lewat matang).
Bagi program Identifikasi bakat yang berkaitan dengan Ujian Jangkaun Melunjur dan Ujian Baling Bola Keranjang boleh dilaksanakan namun masih terhad . Kelenturan yang sebenar hanya akan terhasil daripada hasil latihan yang banyak. Jadi, asas pengukuran dalam program Identifikasi bakat ini hanya sebagai penanda aras bagi mengukur sejauh mana seseorang itu mampu dijana. Hasil latihan biasanya menhgujudkan kekuatan, kuasa, daya tahan otot, kelembuatan dan kardiovaskular tetapi kurang peningkatan dari segi kelajuan dan ketangkasan (Willmore dan Costill, 1994).
Kesimpulan
Sebenarnya kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada program Identifikasi bakat sahaja kerana terdapat banyak faktor lain yang terlibat dalam pembentukan seorang atlit yang berjaya. Kebiasaannya atlit yang berlatih dan bersedia dengan rapi akan berjaya. Atlit mestilah secara sukarela menerima persaingan kerana pencapaian dalam sukan adala hasil dari pernyataan kebebasan personel. Faktor sosial, politik, identifikasi personel dan tindakbalas personel adalah faktor penting dalam menentukan perlakuan manusia (Hans Lenk 1984). Atlit bertaraf dunia biasanya merupakan mereka yang sukakan persaingan dan insan yang aktif. Oleh sebab itu program identifikasi bakat pada peringkat awal bukanlah faktor terpenting kepada pemilihan atlet kelak. Kesungguhan atelt itu sendiri yang akan membawa mereka ke arah kejuaraan.

Orientasi Kejayaaan Dalam Sukan

PERSEPSI ATLET TERHADAP TINGKAH LAKU KEMPIMPINAN JURULATIH DAN HUBUNGANNYA DENGAN ORIENTASI PENCAPAIAN

Kajian jurnal yang diulas ini berfokuskan jurulatih dengan atlet. Jurulatih sememangnya memainkan peranan penting dalam sesebuah pencapaian sukan. Jurulatih yang berkesan mampu melahirkan atlet yang baik dan berprestij tinggi. Kelahiran seorang atlet dan kejayaannya bergantung kepada kebolehan jurulatih mengendalikan sesuatu sesi latihan yang berkesan. Ini dapat dibuktikan melalui kajian – kajian yang telah dilakukan bahawa jurulatih mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar dalam hubungannya dengan atlet (Carron, 1979; Cratty, 1989; Thompson, 1992).

Walaupun kejayaan atlet bergantung kepada pelbagai faktor seperti seringkali dikaitkan dengan tahap dan orientasi motivasi atlet (Duda & Nicholls, 1985; Shaharudin Abd Aziz, 1998), faktor kepimpinan jurulatih (Chelladurai, 1984), tahap keyakinan diri atlet serta tahap kebimbangan atlet sebelum dan semasa pertandingan berlangsung (Martens, 1987) namun kewibawaan jurulatih memainkan peranan yang sangat penting. Ini dibuktikan dengan kajian iaitu gaya dan tingkah laku kepimpinan seseorang jurulatih pada umumnya dapat menentukan kewibawaannya dalam mencorakkan keberkesanan latihan dan pencapaian atlet yang cemerlang (Fuoss & Troppmann, 1981; Weles & Friedrichs, 1986; Garland & Barry, 1988; Gross, 1990; Chelladurai, 1990; Boonveerabut, 1992).
         
Kejayaan terbaru yang dicapai oleh ratu skuasy Negara, Nicole Ann David, yang berjaya menjuarai Kejohanan Skuasy Dunia sekaligus mengesahkan kedudukan beliau di ranking nombor satu dunia, membuktikan bahawa wujudnya stail kepimpinan jurulatih serta usaha gigih atlet dengan pencapaian dalam sukan.
         
Di samping itu, jurulatih dengan atlet mempunyai perkaitan terus kepada kejayaan atlet. Jurulatih yang berjaya memahami rentak atlet dan keperluan diri atlet mampu untuk memberi kejayaan besar di dalam pasukannnya. Kajian yang telah dijalankan ini melihatkan perkaitan yang jelas bahawa kejayaan atlet adalah kerana kepimpinan jurulatih dalam pasukannya. Ini juga dapat dibuktikan dari kajian-kajian yang telah dijalankan,misalnya dari sudut kepimpinan pula, kajian menunjukkan kejayaan atlet dalam bidang sukan seringkali dikaitkan dengan stail kepimpinan jurulatih yang bercorak sokongan sosial, demokratik, dan autokratik (Chelladurai & Saleh, 1978). Oleh itu dapat disimpulkan, keouasan atlet terhadap kejayaan mereka banyak bergantung kepada corak kepimpinan jurulatih.

          Selain itu, jurnal ini juga membuktikan gaya seorang jurulatih turut memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan atlet. Chelladurai dan saleh (1978,1980) memperlihatkan tingkah laku kepimpinan jurulatih kepada lima dimensi iaitu, latihan dan arahan (training dan instruction), demokratik, autokratik, sokongan sosial (social support) dan mengganjar (rewarding). Jurulatih yang bersikap latihan dan arahan (training dan instruction) adalah paling disukai. Bukti kajian terdahulu menunjukkan bahawa tingkah laku kepimpinan jurulatih yang bercorak latihan dan arahan adalah paling dominan atau disukai oleh para atlet dan jurulatih (Chelladurai, 1984; Dwyer & Fischer, 1990; Laughlin & Laughlin, 1994; Serpa & Antunes, 1989; Serpa et al., 1991; Terry & Howe, 1984).

          Dengan itu, sikap kepimpinan jurulatih yang bersikap autokratik amatlah tidak disukai. Sikap ini memberi impak yang besar terhadap kejayaan atlet. Hal ini berlaku kerana sikap ini seakan-akan memberi tekanan dan menjadikan latihan sukan suatu yang membebankan. Bukti ini dapat di ulas daripada kajian yang telah dilakukan, iaitu tingkah laku autokratik adalah paling tidak disukai oleh para atlet dan jurulatih mengikut pengamatan mereka (Dwyer & Fisher, 1990; Serpa & Antunes, 1989; Serpa, et. Al.,1991). Walaupun hampir keseluruhan kajian yang dijalankan menyatakan sikap sosial dan demokratik disukai namun kajian lain mendapati yang selainnya yang mana atlet lelaki lebih menyukai sokongan sosial dan autokratik. Kajian mendapati juga atlet wanita lebih menyukai jurulatih yang bersikap memberikan sokongan sosial dan demokratik sementara atlet lelaki lebih menyukai jurulatih yang bersikap memberikan sokongan sosial dan autokratik (Chelladurai et al., 1988)

          Seterusnya, Kajian Booveerabut (1992) membuktikan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara orientasi pencapaian atlet dengan tingkah laku kejurulatihan yang disukai berkadar terus. Ini bermakna, jurulatih yang mempunyai interaksi yang baik semasa latihan sama ada sebelum pertandingan dan selepas pertandingan berangsung sangat memberi impak kepada tahap prestasi atlet. Walaupun terdapat perbezaan di antara atlet berpengalaman atau atlet muda dalam sukan berpasukan dan perbezaan jantina.  Namun keseluruhan hasil kajian yang dijalankan merumuskan bahawa tingkah laku kepimpinan jurulatih yang khusus memunyai pengaruh ke atas pencapaian dan kepuasan atlet dalam sesuatu permainan (Chelladurai, 1984; Chelladurai et al., 1988; Dwyer & Fisher, 1990; Garland & Barry, 1988; Gordon, 1986; Schliesman, 1987; Weiss & Friedrichs, 1986).

          Kajian lain juga telah dijalankan dan melalui kajian yang dijalankan terdapat percanggahan daripada kajian yang terdahulu. Kajian yang telah dijalankan menjelaskan bahawa hubungan jurulatih dan atlet jelas tidak menunjukkan hubungan yang jelas. Ini bermakna hubungan yang baik di antara atlet belum tentu dapat menjamin kejayaan atlet.  Kajian-kajian lepas itu seperti Kajian Weiss dan Friedrichs (1986) menunjukkan tingkah laku sokongan sosial jurulatih tidak mempunyai hubungan yang nyata dengan pencapaian atlet. Begitu juga dalam Kajian Fox (1984) telah membuktikan bahawa gaya kepimpinan jurulatih tidak mempunyai hubungan yang nyata dengan kejayaan dalam sesebuah pasukan sukan sofbol.

          Kajian lain membuktikan bahawa kerjasama di antara jurulatih dengan atlet dalam merancang dan menentukan objektif dan sasaran mampu merealsasikan kejayaan yang gemilang. Jurulatih yang mahir mengubah tingkah laku mengikut situasi merupakan gaya kepimpinan yang memahami tugas yang diberikan kepadanya. Kajian ini dibuktikan bahawa gaya dan tingkah laku tertentu adlah lebih berkesan daripada gaya yang lain pada masa tertentu. Kajian Hersay dan Blanchard (1977) melaporkan kepimpinan situasi ini dan juga menurut Chelladurai (1990), asas kepada Teori Kempimpinan Situasi Hersey dan Blanchard (1977) menyatakan pemimpin harus mempellbagaikan tingkah laku manusia mengikut kematangan ahli.

          Kajian ini juga mendapat sokongan daripada ramai ahli psikologi dan pakar kejurulatihan sukan (Chelladurai, 1984; Gross, 1990; Lee, 1986; Weiss & Friedrichs, 1986). Gaya kepimpinan jurulatih memberi impak yang besar kepada peningkatan pencapaian atlet.

Di dalam jurnal ini juga menyatakan tujuan kajian adalah bagi mengenal pasti hubungan antara tingkah laku kepimpinan jurulatih berasaskan persepsi atlet terhadap dimensi-dimensi LSS (Chelladurai & Salleh, 1980) dengan orientasi pencapaian atlet. Beberapa hipotesis telah dikkemukakan bagi mencari jalan penyelesaian permasalahan dan ujian ini diuji pada signifikan .05. Hipotesis yang dikemukakan seperyi corak dan tingkah laku kepimpinan jurulatih yang lebih berpengaruh, hubungan tiap-tiap satu dimensi tingkah laku kepimpinan jurulatih dengan skor orientasi pencapaian at;et dalam sukan berpasukan dan kelima-lima dimensi tingkah laku kepimpinan jurulatih adalah peramal yang signifikan ke orientasi pencapaian atlet sukan berpasukan.

Hasil kajian berdasarkan method iaitu subjek kajian yang terdiri daripada atlet – atlet remaja yang telah mengambil bahagian dalam sukan berpasukan pada peringkat Majlis Sukan Sekolah – sekolah Daerah dan Instrumen iaitu soal selidik yang mengandungi latar belakang subjek, Leadership Scale For Sports (LSS) (Chelladurai & saleh, 1980) versi persepsi atlet dan Sport Orientation Questionnare (SOQ) (Gill & Deetar, 1980) maka lima dimensi tingkah laku kepimpinan jurulatih telah dinilai.

Oleh itu, keputusan – keputusan yang dicapai menunjukkan nilai yang signifikan dengan situasi jurulatih Negara. Tingkal kau julutih yang menggunakan latihan dan arahan menunjukkan keputusan yang paling dominant. Ini bermakna, jurulatih Negara lebih menekankan dimensi tingkah laku ini.  Dimensi tingkah laku yang lain seperti mengganjar kerap juga digunakan untuk memberi pujian kepada kejayaan atlet sama ada semasa latihan dijalakan ataupun setelah memenangi sesuatu pertandingan. Manakala tingkah laku autokratik adalah tingkah laku yang jarang dilakukan oleh jurulatih. Ini mugkin tidak sesuai dengan situasi atlet negara yang masih belasan tahun. Persepsi ini mengambil kira jantina atlet dan jenis sukan. Dengan skor yang didapati maka tingkah laku kepimpinan jurulatih lebih kepada tingkah laku sosial dan demokratik dan tingkah laku mengganjar dan demokratik menyumbang secara langsung kepada orientasi pencapaian atlet.

Hasil perbincangan kajian jurnal ini maka penemuan yang diperolehi adalah kepemimpinan jurulatih mempunyai pengaruh yang sangat dominan dalam sukan mengikut perspesi atlet. Jurulatih sangat menekankan kepada pencapaian yang ingin dicapai melalui latihan yang kerap dan berkesan, sentiasa memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada atlet tentang kemahiran – kemahiran, dan teknik – teknik dalam sukan. Di samping akan menyelaras aktiviti yang perlu dijalankan demi keberkesanan program latihan.

Nilai ganjaran turut ditunjukkan oleh oleh jurulatih kepada atletnya. Jurulatih akan kerap memberi pujian dan pengiktirafan sewajarnya agar para atlet di bawah seliaannya sentiasa menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan dan pencapaian yang lebih baik dari tahun ke tahun. Namun nilai ini hanyalah dilakukan oleh beberapa jurulatih yang mempunyai dimensi nilai atau tingkah laku sosial. Kajian ini dibuktikan oleh  kajian – kajian terdahulu (Boonveerabut, 1992; Chelladurai & Saleh, 1978; Dwyer & Fisher, 1990; Home & Carron, 1985; Serpa et al., 1984).

Hasil kajian ini juga menunjukkan jurulatih lebih cenderung untuk mengamalkan tingkah laku yang bercorak latihan dan arahan serta menganjar. Nilai ini mendapat perhatian di kalangan jurilatih adalah disebabkan fokus mereka untuk kemenangan. Penumpuan lebih terhadap atlet untuk peningkatan pencapaian di sampan menjaga kebajikan atlet lebih menyakinkan jurulatih untuk kejayaan pasukannya.

Sikap autokratik adalah jarang ditunjukkan oleh jurulatih adalah kerana jurulatih tidak pernah untuk menggunakan kuasa peribadi mereka untuk menekan atlet. Jurulatih lebih senang untuk mengadakan kolaborasi bersama atlet. Sikap ini hanya kan ditunjukkan serta diguna oleh jurulatih semasa untuk membuat keputusan yang penting untuk pasukannya dan sebahagian besar untuk atlet yang pertama kali menyertai pertandingan dan kurang berpengalaman. Ini adalah kerana dasar pengalaman dan tanggungjawab uanyuk merancang kejayaan pasukannya.

Walaupun demikian, hasil kajian lanjut yang dijalankan iatu Kajian Chelladurai dan Carron (1983) meyatakan sikap autokratik ini juga sesuai digunakan untuk atlet yang berperngalaman dan atlet yang bertanding di peringkat tinggi. Begitu juga kajian Serpa dan Valadares (1991) menyatakan tingkah laku autokratik ini sesuai dipamerkan ketika mengendalikan latihan terhadap atlet yang matang dan atlet senior.Faktor pengalaman, rujukan peribadi dan kebolehan tanggungjawab mempengaruhi jurulatih untuk membuat keputusan sendiri.
Sikap demokratik ditunjukkan adalah untuk memebri peluang kepada para atlet mengemukakan idea semasa merancang strategi latihan dan matlamat pasukan. Sikap ini digunakan untuk menjelaskan keprihatinan terhadap kebajikan atlet di samping untuk menunjukkan sikap mesra dan lebih kepada sokongan social jurulatih terhadap pasukannya. Dengan ini, kajian ini menunjukkan keserasian dengan hasil kajian-kajian terdahulu.

Berkaitan dengan orientasi pencapaian atlet banyak dipengaruhi oleh matlamat – matlamat yang ingin dicapai serta cabaran – cabaran yang dihadapi. Disokong dengan kajian Gill dan Deeter (1988). Sikap jurulatih yang sentiasa memberi tunjuk ajar, melibatkan atlet dalam perancangan pasukan, memberi ganjaran terhadap sesuatu pencapaian mempengaruhi keinginan dan orientasi atlet untuk mencapai kejayaan di samping pengaruh – pengaruh yang lain mengikut situasi tertentu. Hal ini berdasarkan kajian Chelladurai (1990), menjelaskan bahawa tingkah laku jurulatih sebenar jurulatih merupakan satu daripada komponen – komponen pemboleh ubah yang mempunyai hubungan dengan pencapaian atlet.

Kajian jurnal ini juga memperlihatkan tingkah laku yang spesifik jurulatih memeprngaruhi orientasi pencapaian atlet. Tingkah laku seperti mengganjar dan demokratik merupakan ciri utama orientasi pencapaian atlet  di samping matlamat peribadi yang telah ditetapkan. Kajian ini dibuktikan melalui Kajian Weiss dan Friedrichs (1986) dan garland dan Barry (1988).

Kajian jurnal ini menjelaskan dengan terperinci pihak yang berkenaan seperti jurulatih, pengurus dan pentadbir sukan pelu mempunyai kepimpinan dan tingkah laku yang bersesuaian dengan keperluan dan keadaan. Ini kerana tingkah laku yang tidak bersesuaian akan memberi implikasi kepada pencapaian atlet.

Kajian ini juga menyediakan panduan berguna kepada sekolah, MSSM, MSN, MOM dan badan – badan sukan agar usaha untuk merancang  dan program pendidikan kejurulatihan atau kepemimpinan kejurulatihan sukan menjadi lengkap dengan kajian yang dijalankan ini. Dalam merancang strategi pasukan factor kepimpinan  dan pemilihan jurulatih hendaklah di pandang serius kerana ianya dapat membantu dalam proses pencapaian kejayaan pasukan yang cemerlang.

Kajian ini disokong dengan bukti kajian daripada teori laluan matlamat (House, 1971) dan Model kepemimpinan pelbagai Dimensi (Chelladurai & Carron, 1978). Saranan kepada pemboleh ubah-pemboleh ubah makro dan mikro perlu dititikberatkan. Pencapaian atlet dan pasukan perlu mengambil pelbagai faktor hasil kajian yang dijalankan.

Penerokaan awal dari kajian ini yang berkaitan dengan tingkah laku kepemimpinan jurulatih dan hubungannya dengan orientasi pencapaian berguna untuk dapatan awal bagi meneruskan kajian mengenainya.



Bibliografi

  1. Mohd Yusof Abdullah dan rakan-rakan(2005). Sport Science as the Catalyst of Quality Sports Perfomance. School of Education and Social Deveploment: Universiti Malaysia Sabah and Ministry Of Youth And Sports Sabah.

  1. Shaharudin Abdul Aziz. (2005). Jurnal Perkaitan Di Antara Orientasi Matlamat Dan stail Kepimpinan dengan Pencapaian Atlet SUKMA Negeri Perak Di Kejohanan SUKMA 2004.

  1. Nota kuliah UMS

Persatuan sukan dari segi kelemahan dan peningkatan prestasi.

Sukan merupakan satu agenda penting dalam sebuah negara, masyarakat malah individu itu sendiri. Merujuk kepada pendapat Boyle (1963) menyatakan sukan itu wujud untuk seluruh masyarakat malah melaluinya akan terdapat unsur-unsur status, hubungan ras, perniagaan, reka bentuk, alat-alat automotif, gaya pemakaian, konsep hero (wira), bahasa, etika dan nilai-nilai estetika.
Dengan itu, adalah wajar melalui sukan maka sebuah atau seseorang itu menjadi terkenal. Namun, adalah menyedihkan sekiranya sukan tersebut tidak mendapat pengiktirafan selayaknya hanya kerana pengurusan persatuan yang pincang dan masih ditakuk lama.
Berdasarkan artikel yang dilampirkan, sukan di Malaysia masih tidak menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan seperti mana era sukan yang terdahulu. Sejak akhir ini, sukan di Malaysia  hambar dan tidak dapat dibanggakan. Misalnya, kekalahan demi kekalahan diterima bermula daripada Piala Asia 2007 apabila skuad kebangsaan dibelasah oleh skuad China 5-1 pada 10 Julai hinggalah akhirnya kekalahan memiliki juara dunia pertama selepas 30 tahun menanti tidak kesampaian di Kejohanan Dunia Badminton yang telah diadakan di gelanggang sendiri gagal dikotakan. 
Di samping itu, artikel sukan ini mempersoalkan bahawa dengan jawatan ahli politik dalam sesebuah Persatuan sukan menyebabkan sukan tersebut sukar untuk bertahan lama dan terus selesa berada di takuk lama tanpa adanya perubahan yang mampu diiktiraf dunia. Ini jelas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan kenyataan bahawa penglibatan ahli politik dalam sukan sememangnya tidak mampu untuk pembangunan sukan ke landasan sukan yang sebenar. Beliau sendiri telah mengarahkan Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen agar tidak lagi memegang jawatan dalam Persatuan sukan. Keputusan ini adalah wajar diterapkan dalam senario sosiologi sukan negara kita.  Ini kerana, penglibatan ahli politik dalam sukan adalah tidak bersesuaian kerana mereka sukar untuk menumpukan sepenuh perhatian untuk pengurusan persatuan disebabkan oleh faktor kesibukan kerja politik mereka sendiri.
Dalam pada itu, ramai ahli psikologi dan pakar kejurulatihan sukan (Chelladurai, 1984; Gross, 1990; Lee, 1986; Weiss & Friedrichs, 1986) berpendapat bahawa gaya dan tingkah laku kepemimpinan jurulatih merupakan faktor yang penting dalam usaha meningkatkan pencapaian atlet Situasi di Malaysia adalah kelemahan dan masalah yang timbul apabila ahli politik menerajui kepemimpinan persatuan sukan maka kepimpinan jurulatih lebih berpegang konsep daulat dan tidak melawan orang atasan yang telah menjadi budi bahasa negara kita sendiri. Apabila menteri besar atau kerabat diraja memegang jawatan presiden maka apabila presiden membuat keputusan orang bawahan terpaksa akur dengan keputusan yang telah dibuat. Hal ini jelas berlaku dalam senario sukan di Malaysia yakni dalam mesyuarat persatuan sukan kita, hanya satu pihak yang memberi pandangan yang mana pendapatnya akan mampu mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat. Sepatutnya, persatuan sukan yang berjaya perlu duduk bersama dan membincangkan secara terbuka segala pandangan yang dikemukakan biarpun terdapatnya banyak pandangan dan idea yang dilahirkan hinggakan mesyuarat tersebut berlangsung dua atau empat jam.
Kajian-kajian telah membuktikan bahawa presiden atau jurulatih mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar dalam hubungannya dengan atlet (Carron, 1979; Cratty, 1989; Thompson, 1992). Dalam teori pengurusan, perbezaan status antara presiden dan ahli jawatankuasa yang lain akan menimbulkan konflik dan agak menyukarkan kerana wujudnya pandangan yang berbeza. Oleh itu, persatuan sukan yang dipresidenkan oleh ahli politik akan mencetuskan perasaan malas untuk bersuara bagi jurulatih-jurulatih utama sukan tersebut. Hal inilah yang amat merugikan perkembangan dunia sukan kita pada masa ini. Walaupun jurulatih tahu terdapatnya  kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi kerana adanya dasar hormat dan perbezaan status kepada orang yang lebih berpengaruh maka timbul perasaan ‘biarlah’, ‘malaslah’ dan sebagainya. Akibatnya, para atlet yang diasuh akan ketinggalan dan sentiasa di takuk lama.
Manakala menurut House (1971), House dan Dessler (1971), tingkah laku pemimpin mempunyai banyak kesan langsung ke atas keadaan psikologi orang-orang bawahan yang dipercayai mempengaruhi motivasi sebagai daya penggerak ke arah perolehan dan pencapaian matlamat organisasi. Amalan biasa ahli politik dan orang kenamaan menjadi sumber memberi sumbangan tetapi bukan sebagai presiden. Ahli politik dan orang kenamaan masih diperlukan untuk membantu mendapat tajaan dan derma. Hal ini jelas dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), apabila Presiden FAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, telah berusaha untuk mendapat penajaan daripada syarikat telekomunikasi gergasi, Telekom Malaysia Berhad, Malysian Airline System Berhad (MAS), Genting dan Adidas. Baginda sendiri sentiasa memastikan FAM terus memperoleh wang untuk mentadbir dan menguruskan segala perancangan walaupun pernah kehilangan tajaan bernilai RM30 juta daripada Dunhill selepas larangan iklan dan tajaan rokok dikuatkuasakan pada 2005.  
Seterusnya, persatuan sukan sendiri haruslah memikirkan cara tersendiri untuk keluar dari kemelut ini sendiri. Menteri sukan sendiri perlu memikirkan cara terbaik untuk memastikan persatuan sukan di Malaysia harus dapat dibanggakan dan boleh menembusi sukan dunia. Jangan hanya berharap dengan Nicol Ann David dalam sukan Skuasy dan pemain-pemain boling negara. Setakat manalah kekuatan mereka jika asyik mereka yang turun padang untuk menyumbang kepada sukan negara kita.  Seharusnya pelapis perlu diwujudkan mulai sekarang. Jangan sampai tahap sudah terhantuk baru terngadah.
Oleh itu, artikel ini juga telah menjelaskan dan mewar-warkan sekolah sukan merupakan medan terpenting untuk melahirkan atlet yang berbakat. Janganlah kita asyik berharap dengan penglibatan ahli politik. Sebaiknya, penglibatan ahli politik hendaklah dihadkan. Apabila mengutarakan masalah sukan di negara kita, semua agensi yang berkaitan dengan sukan adalah terlibat sama seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Peranan agensi ini  perlu meliputi semua jenis sukan dan cara pentadbiran. Misalnya, MSSM merupakan lubuk untuk melahirkan atlet baru. Kalau tak ada MSSM, tidak ada atlet.
Selain itu, sekolah sukan memainkan peranan penting. Misalnya, sukan sepak takraw, kalau tidak diajar di sekolah bagaimana kita hendak melahirkan pemain yang boleh mengalahkan Thialand. Begitu juga dengan bola sepak. Ajar pelajar asas seperti menyepak. Kalau kita lihat cara permainan pemain kita, masih ada yang tak dapat menyepak bola dan membuat hantaran dengan baik. Jadi jelaslah sekolah sukan merupakan agen utama yang perlu dipandang serius oleh persatuan sukan di Malaysia sebagai tempat untuk membetulkan perkara yang masih tidak betul dan pincang itu.
Di samping itu, persatuan sukan seperti MSSM memainkan peranan penting bagi memastikan pengajaran pendidikan jasmani mengikut kurikulum yang ditetapkan oleh kementerian. Ia adalah merupakan masalah asas yang jika dibiarkan berlarutan maka hancurlah sukan di Malaysia. Perkara remeh beginilah yang selalu dipandang sebelah mata bagi persatuan sukan. Misalnya, kalau tiada kemahiran asas, bagaimana kita nak ada bakat yang boleh digarap untuk mewakili pasukan negara.Jadi, keperluan ini harus diambil perhatian sewajarnya.
Antara lain yang boleh kita pastikan agar persatuan sukan dapat ditingkatkan ialah dengan melibatkan ibu bapa pelajar itu sendiri. Dengan mengambil contoh di Amerika Syarikat yang mana ibu bapa sendiri yang menawarkan diri untuk menjadi jurulatih kepada anak-anak mereka. Ibu bapa akan meluangkan waktu petang atau hujung minggu untuk turun ke sekolah sendiri untuk bersama-sama anak mereka berlatih. Malah pemain dunia sendiri iaitu David Beckham telah meneruskan tradisi ini di sekolah anaknya.
Atlet-atlet mempunyai motif untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi seandainya mereka didorong dengan gaya dan tingkah laku kepemimpinan yang berkesan. Begitu juga halnya dengan tingkah laku kepemimpinan jurulatih yang berkesan dapat memuaskan keperluan-keperluan dan kehendak atlet (Chelladurai, 1990; Singer, 1977). Persatuan sukan yang berjaya diuruskan dengan baik, dapat melahirkan atlit bertaraf dunia. Di negara kita, perkara ini dapat dilihat dalam permainan seperti skuasy dan bowling padang yang diuruskan dengan baik. Persatuan ini berjaya berlaku apabila kepempinan persatuan benar-benar hadir dan berminat terhadap sukan itu. Misalnya, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid yang merupakan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, sangat berminat terhadap bowling padang hingga dia boleh menulis buku mengenai bowling padang. Orang seperti inilah yang diperlukan oleh negara. Mempunyai latar belakang sukan, berminat dan mempunyai pengalaman pengurusan. Sukan ini berjaya kerana pemegang pucuk pimpinannya memang layak. Contoh lain seperti, Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Datuk A Sani karim yang juga berminat terhadap sukan ini.
Peningkatan prestasi persatuan sukan perlu komitmen. Jangan hanya ada pejabat tetapi malangnya tak pernah dibuka dan pemimpinnnya bertaburan di beberapa negeri. Berdasarkan keadaan ini, maka kita boleh menilai pentadbiran persatuan itu. Seharusnya, persatuan sukan lain di Malaysia khasnya perlu mencontohi Persekutuan Lawn Bowls. Persatuan ini telah berjaya mengetengahkan bakat dan juga mempunyai pelapis yang menunjukkan kecemerlangan. Sewaktu Ahmad Sarji menjadi Ketua Setiausaha Negara, beliau telah memperkenalkan idea dan telah diterapkan dalam persatuannya. Misalnya, Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja dan konsep pengurusan secara objektif. Dengan penubuhan idea ini perbincangan mengenal pasti dan menyelesaikan masalah sendiri serta menetapkan apa yang hendak dilakukan dan dicapai dilakukan dalam persatuan ini. Hasilnya, bowling padang dari sukan yang tidak dikenali menjadi sukan yang berprestij kini juga penyumbang utama paling banyak pingat emas dalam sukan Komanwel.
Begitu juga dengan pemilihan jurulatih. Keputusan mengenai program dan pemilihan jurulatih malah pemain perlu diwujudkan panel yang dianggotai bekas pelajar, pemain, jurulatih, bekas guru dan ibu bapa bagi memastikan keperluan guru, atlit dan pelajar diambil kira. Untuk meningkatkan prestasi sukan, kita memerlukan kerjasama semua pihak yang berkepentingan dalam sukan. Golongan ini bukan hanya ahli politik atau kerabat diraja tetapi rakyat. Ibu bapa perlu digalakkan melibatkan diri agar mereka berpandangan  bahawa sukan sama pentingnya dengan akademik.
Sebagai kesimpulannya, masalah sukan di negara kita akan dapat hidup semula apabila persatuan sukan di Malaysia diterapkan dengan budaya sains sukan. Bagaimana hendak membuat keputusan, sama ada program latihan, pemilihan pemain hingga ke peringkat pengurusan. Kita tidak boleh membuat andaian semata-mata. Negara lain seperti Korea Selatan pernah kalah dalam Piala Asia dan mereka telah mengkaji punca dan mengambil tindakan sewajarnya dengan melibatkan kebanyakan pensyarah dan profesor sukan malah bekas pemain yang menang pingat Sukan olimpik. Begitu juga dengan Australia telah menubuhkan Institut Sukan Australia untuk menerapkan sains sukan dalam pembangunan sukan. Sekarang Australia menang juara dunia dalam banyak jenis sukan, ragbi, hoki lelaki dan prempuan, kriket, bola jaring, tenis dan olahraga.   Dengan ini, Malaysia perlu bangkit dengan semangat baru, buat pembaharuan dan sentiasa menerapkan budaya sains sukan demi mengharumkan nama negara di mata dunia.
 
Rujukan
  1. Berita Minggu. 5 Ogos 2007. Kita gagal kerana Tak Terap Budaya Sains Sukan.
  2. Mingguan Malaysia. 22 Julai 2007. Bola Sepak Boleh Bangkit Semula.
  3. Mohd Yusof Abdullah dan rakan-rakan(2005). Sport Science as the Catalyst of Quality Sports Perfomance. School of Education and Social Deveploment: Universiti Malaysia Sabah and Ministry Of Youth And Sports Sabah.


 Artikel ini daripada surat khabar Berita Harian yang bertarikh 22 Ogos 2007 (rabu),yang mana membincangkan tentang Persatuan sukan kena kaji kelemahan, tingkat prestasi. Artikel ini telah ditulis sempena Kemerdekaan Negara ke-50 dan dikaitkan dengan sosiologi sukan Malaysia. Artikel ini merupakan sebuah artikel yang mampu menarik perhatian pelbagai pihak tentang kemelut sukan negara kita.