SeLaMaT DaTaNg Ke BLog DuNiA SuKaN....

Sunday, 17 July 2011

Reds hebat kita menyengat

KUALA LUMPUR – Kalah tapi ada peningkatan. Itu perwatakan yang dipamerkan skuad kebangsaan apabila tewas 3-6 kepada Liverpool dalam aksi persahabatan dalam Siri Jelajah Asia kelab itu di Stadium Nasional, semalam.
Walaupun kalah, pujian harus diberikan kepada skuad Datuk K. Rajagobal yang bangkit selepas ketinggalan 4-1 pada babak kedua untuk merapatkan jurang gol kepada 4-3.
Namun akibat kelalaian benteng pertahanan, Malaysia akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Liverpool, apabila melepaskan dua gol pada masa kecederaan.
Safee Sali paling mencuri tumpuan apabila menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas dimasukkan pada babak kedua.
Keupayaan meledak dua gol sewajarnya menjadi amaran kepada Singapura, apabila berdepan Malaysia pada kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini.
Aksi menarik semalam bermula dengan skrip yang sama ketika menentang Arsenal Rabu lalu berulang buat Harimau Malaya, apabila Liverpool mendahului hasil sepakan penalti pada minit ke-24.
Ia bermula apabila pemain pertahanan Fadhli Shas dipersalahkan kerana menjatuhkan Andy Carroll.
Namun, keputusan pengadil Nagor Amir Noor Mohamed memberikan penalti mencetuskan kontroversi kerana Carroll yang melanggar Fadhli.
Pemain yang baru dibeli Liverpool, Charlie Adam mudah menyempurnakan penalti, walaupun sepakan pertamanya dibatalkan
Ketinggalan satu gol tidak melenyapkan semangat pemain negara sebaliknya bangkit mengikat kedudukan apabila ketua pasukan, Safiq Rahim menggegar jaring lawan dengan gol menarik hasil sepakan bebas.
Ia seakan-akan menjadi tradisi buat Safiq apabila sebelum ini menjaringkan gol yang hampir sama iaitu pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 pusingan pertama menentang Taiwan, di mana Malaysia menang hasil kelebihan gol di tempat lawan.
Liverpool akhirnya membuktikan kehebatan sebenar, ditambah dengan kelalaian pertahanan Fadhli dan Muslim Ahmad, apabila menjaringkan gol pada minit ke-64 dan 65 melalui David Ngog untuk menjadikan kedudukan 3-1.
The Reds menambah jaringan keempat pada minit ke-74, melalui Maxi Rodriguez namun seperti harimau luka, Malaysia berjaya merapatkan jurang 4-3 hasil kehebatan Safee, yang tenang memperdayakan benteng pertahanan Liverpool.
Hajat untuk Harimau Malaya menjaringkan gol penyamaan berkecai apabila kelalaian pertahanan Malaysia membolehkan Rodriguez dan Dirk Kuyt menambah gol Liverpool pada masa kecederaan.

Sumber :Utusan Malaysia

Wednesday, 13 July 2011

Awas Gunners!



KUALA LUMPUR - Status selaku gergasi Liga Perdana England - Arsenal bukan sesuatu yang menakutkan buat kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim yang menyeru rakan sepasukannya agar mempersembahkan aksi terbaik malam ini.
Menjadikan pengalaman berdepan Manchester United dua tahun lepas sebagai pengalaman terbaik, perancang utama pasukan negara itu yakin Malaysia mampu membuat kejutan ke atas Arsenal.

''Ya, memang benar mereka mempunyai ramai pemain bertaraf dunia tetapi jangan terlalu awal menidakkan peluang kami untuk menyaingi Arsenal.
''Namun, saya harap rakan sepasukan boleh membuktikan sesuatu dan jangan terlalu menghormati lawan dalam perlawanan esok (hari ini).
''Selain itu, apa yang penting, berhadapan dengan pasukan lawan seperti Arsenal, kami boleh dapat belajar sesuatu daripada cara permainan mereka.
''Kami harus mengambil kesempatan terbaik ini, ramai pemain luar di sana mahu berhadapan dengan pasukan yang hebat seperti Arsenal, jadi saya berjanji akan menampilkan persembahan terbaik," katanya selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional, semalam.

Skuad negara yang kini dalam rangka persiapan menghadapi Singapura pada kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini juga dijadual berdepan Liverpool pada 16 Julai ini.
Bagi penyerang, Abdul Hadi Yahaya yang dijangka menjadi pilihan utama jurulatih Datuk K. Rajagobal untuk digandingkan dengan Norshahrul Idlan Talaha selepas kecederaan Safee Sali, mengakui dia sudah tidak sabar lagi beraksi pada hari ini jika diberikan peluang.

''Menjelang perlawanan berhadapan dengan Singapura, saya anggap ini adalah persiapan paling bagus untuk meningkatkan keyakinan kami.
''InsyaAllah, jika diberikan peluang turun, saya berharap dapat menjaringkan gol untuk pasukan negara," katanya yang merupakan penyokong setia pasukan Chelsea.
Pada perlawanan hari ini, Rajagobal dijangka menurunkan Mohd. Shakir Shaari untuk beraksi di bahagian tengah bersama Safiq.
Khairul Fahmi Che Mat juga akan kembali mengawal gawang negara daripada Sharbinee Allawee selepas pulih daripada kecederaan bahu.

Sumber:Utusan Malaysia