SeLaMaT DaTaNg Ke BLog DuNiA SuKaN....

Saturday 18 June 2011

Faktor Mempengaruhi Prestasi Atlet

Pembawaan Genetik
Genetik memainkan peranan yang penting dalam menentukan prestasi atlit Kenyataan ini jelas telah dibuktikan oleh pencapaian keluarga Hj. Sidek. Malaysia menjuarai semula Piala Thomas dalam permainan badminton selepas 25 tahun dan separuh dari skuad tersebut dianggotai oleh anak-anak Hj. Sidek (Razif Sidek, Jailani Sidek, Rashid Sidek dan Rahman Sidek). Warisan memainkan peranan yang penting dalam prestasi kerana aras maksima penggunaan oksijen bergantung kepada faktor genetik. Bouchard etal (1992) merumuskan bahawa warisan memberikan varian di antara 25-50% pada nilai penggunaan maksima oksijen. Berdasarkan kepada fakta ini warisan sahaja bertanggung-jawab di antara ¼ - ½ dari jumlah pengaruh terhadap prestasi. Smith et al. (1992) mencadangkan pembawaan genetik perlu diberi perhatian yang serius dalam pemilihan pemain bola tampar antarabangsa. Beliau berpendapat adalah lebih mudah untuk melatih atlit yang mempunyai keperluan genetik yang khusus terhadap sesuatu sukan kerana tindakbalas terhadap program latihan ditentukan oleh faktor baka. Gualdi dan Graziani (1993) berpendapat prestasi atlit dibatasi oleh beberapa faktor genetik dan persekitaran. Sebagai contohnya gentian otot adalah sangat penting untuk memandu atlit mencari acara yang paling sesuai untuk diceburi. Ini adalah kerana manusia dipengaruhi oleh dua gentian otot iaitu gentian otot merah (Slow-Twitch) dan gentian otot putih (Fast-Twitch). Mero et al. (1981) memeriksa penghasilan daya ke atas pelari pecut pada tiga kumpulan yang berbeza (100m=10.7s, 11.1 dan 11.5s). Mereka mendapati kumpulan terbaik mempunyai 66.2% gentian otot putih, pertengahan 62.0% dan kumpulan paling lemah 50.4% pada otot vastus lateralis. Kenyataan ini membuktikan pembawaan genetik merupakan faktor yang menentukan jenis sukan yang sesuai diceburi oleh seseorang. McArdle et al. (1996) berpendapat jika individu mempunyai pembawaan mendapatkan penggunaan oksijen yang maksima perlu melengkapkan diri dengan latihan yang lasak bagi mencapai prestasi yang optima.
Komposisi Badan
Komposisi badan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan kejayaan atlit. Perkara yang mustahak di sini ialah "Fat Free Mass" dan "Fat Mass". Jisim badan mesti sesuai dengan sukan dan bentuk badan yang ideal untuk jenis sukan adalah pelbagai. Kepelbagaian bentuk badan adalah sesuai untuk posisi yang berbeza dalam suatu jenis sukan umpamanya permainan ragbi mempunyai "hooker", "prop", "forward" dan "three-quarter". Nilai pengetahuan tentang komposisi badan adalah lebih tinggi untuk meramalkan prestasi atlit jika dibandingkan dengan hanya sekadar mengetahui jisim dan ketinggian atlit sahaja. Menurut Willmore dan Costill (1994) adalah lebih baik jika jurulatih berupaya mengujudkan jisim badan piawai bagi sesuatu jenis sukan dan hendaklah berdasarkan kepada komposisi badan . Atlit yang mengalami lebih jisim badan akan mengalami kemerosotan prestasi. Peningkatan jisim 9Kg mengambil masa 9-12 bulan untuk dipulihkan. Ringkasnya jisim badan yang piawai adalah ciri terbaik dan ideal tetapi sukar dipraktikkan. Oleh itu dengan hanya mempunyai bentuk badan yang sesuai sahaja belum cukup untuk menjamin prestasi yang optima kerana manusia sukar diramalkan tingkah lakunya.
Morfologi.
Thompson, (1966 muka surat 14)
Oleh itu morfologi berkait rapat dengan fisiologi dan biomekanik pergerakan badan manusia. Tanner (1964) merumuskan bahawa adalah mustahil untuk atlit mencapai kejayaan jika mempunyai bentuk badan yang tidak sesuai dengan sukan yang diceburi. Oleh itu buat masa sekarang ahli-ahli kinanthropometry giat mengkaji bentuk badan manusia. Kinanthropometry adalah merupakan sub-displin fisiologi dan merupakan bidang yang baru. Bidang ini mengkaji secara kuantitatif tentang saiz, bentuk, perkadaran, komposisi dan kematangan berkait dengan fungsi motor dan banyak digunakan untuk memilih pemain. Perkadaran saiz mungkin sesuai untuk sesuatu jenis sukan. Sebagai contohnya dalam sukan angkat berat, secara teorinya atlit perlu mempunyai tuas yang lebih pendek untuk penghasilan daya. Umumnya ahli sukan angkat berat mempunyai tuas yang lebih pendek dan ini adalah merupakan perkadaran saiz atlit tersebut.
Morphology merujuk kepada bentuk dan struktur badan Willmore dan Costill (1994) dan biasanya dibahagikan kepada tiga komponen.
    1. Muscularity
    2. Linearity
    3. Fatness

Setiap atlit mempunyai kombinasi yang unik dari ketiga-tiga komponen ini. Atlit dalam sukan yang tertentu akan menunjukkan pengaruh yang kuat dari satu komponen mengatasi dua komponen yang lain. Carter et al. (1982) merumuskan bahawa kebanyakan atlit mempunyai keseimbangan di antara muscularity dan linearity, tetapi muscularity kebanyakanya dimonopoli oleh atlit lelaki. Costill 1972 mendapati bahawa pelari marathon umumnya rendah dan mempunyai jisim badan yang rendah. Walau bagaimana pun pelari pecut secara puratanya lebih besar jika dibandingkan dengan pelari-pelari dalam acara yang lain. Pelari pecut bertaraf dunia mempunyai ketinggian di anatara 1.57- 1.90m dan berjisim di antara 63.4-90 Kg. Kenyataan ini menunjukkan bahawa di samping kecergasan fizikal, morfologi atlit juga mempengaruhi prestasi atlit. Tanner (1964) menyatakan bahawa pelari pecut lelaki secara semula jadinya mempunyai otot-otot besar dan bukanya dihasilkan dari sistem latihan. Pelari pecut perlukan jisim otot yang besar kerana dapat memberikan kelebihan semasa permulaan perlumbaan dan pada fasa permulaan pecutan. Ika dan Fukunaga (1968) merumuskan bahawa lebih banyak daya dapat dibina jika atlit mempunyai lebih banyak otot per luas keratan rentas.
Pelari jarak sederhana biasanya mempunyai kombinasi jisim badan ringan sederhana tinggi dan lemak badan yang rendah (Tanner 1964, Carter 1982). Sebaliknya pelari marathon yang baik umumnya mempunyai jisim badan yang rendah dan pendek (Costill 1972). Saiz badan, bentuk yang khusus adalah sesuai untuk acara, sukan dan posisi yang berbeza. Walau pun berdasarkan kepada pernyataan (Tanner 1964) yang merumuskan kepentingan morfologi atlit namun bagi kebanyakan acara banyak faktor lain perlu juga diambil kira.

Aktiviti (Jenis, Aras dan Posisi)
Acara sukan berpasukan, posisi pemain memerlukan saiz badan, ketinggian dan fisiologi yang berbeza. Sebagai contohnya "hooker" adalah merupakan pemain yang paling pendek di posisi "forward" dalam permainan ragbi. Pemain utama dalam sukan bola keranjang adalah merupakan pemain yang paling tinggi dan merupakan pemain yang mempunyai kemahiran yang luar biasa. Furukawa (1974) merumuskan bahawa pemain professional bola keranjang tidak mungkin dipilih kecuali mempunyai ketinggian 200 cm.

Aspek Fisiologi
Umumnya latihan akan meningkatkan prestasi dan melambatkan kelesuan. Metabolisma badan perlu menyediakan tenaga yang cukup pada keadaan yang diperlukan oleh otot yang bekerja. Oleh kerana itu faktor yang penting adalah kebolehan atlit menggunakan tenaganya dengan cara yang berkesan dan optima. Kebolehan atlit melambatkan kelesuan adalah disebabkan oleh simpanan tenaga dalam badan. Tenaga input dan output boleh diringkaskan seperti berikut:
Pengambilan Tenaga = Tenaga Yang Digunakan +- Tenaga Disimpan.
Nagle dan Basset (1984) merumuskan bahawa prestasi pelari marathon adalah bergantung kepada aspek fisiologi. Atlit yang mempunyai fisiologi yang tinggi sesuai dengan keperluan acara akan muncul sebagai pemenang. Sebagai contohnya dalam larian jarak jauh kelajuan dan intensiti dipengaruhi oleh tahap ambang "lactate". Menurut McArdle et al. (1996) lorong utama penghasilan ATP berbeza dan bergantung keada intensiti dan jangkamasa senaman (lihat jadual 1). Semasa senaman yang dijalankan dalam jangka masa yang singkat dan mempunyai intensisti yang tinggi berintensiti tinggi tenaga yang diperlukan diperolehi melalui simpanan ATP-CP dalam otot. Bagi acara yang lebih lama (1-2 minit), tenaga dihasilkan adalah melalui glikolisis. Apabila senaman berlaku melebihi beberapa minit, sistem aerobik menjadi dominan dan pengambilan oksijen menjadi semakin penting sebagaimana ditunjukkan pada jadual 1. Oleh itu jurulatih yang mengetahui penggunaan sistem tenaga akan merangka program berdasarkan kepada sistem tenaga yang dominan khusus untuk sukannya.
Aktiviti boleh dikelaskan dalam bentuk pengkhususan dan juga pemindahan tenaga dominan yang terlibat. Program latihan yang berkesan akan menyediakan ruang masa yang sesuai untuk tenaga khusus yang terlibat dalam aktiviti. Sistem latihan sekarang menggunakan aktiviti fizikal yang sederhana diikuti denagna latihan anaerobik (pemulihan aktif) dan ini meningkatkan pemulihan berbanding dengan kaedah pasif. Pemulihan aktif akan mengakibatkan pembuangan "blood lactate" dengan lebih berkesan.
Untuk mengekalkan kecergasan, atlit perlu menyediakan dirinya melalui program suaian. Kaedah suaian fizikal yang didasarkan kepada beberapa prinsip latihan akan menghasilkan peningkatan yang optima. Mengikut Willmore dan Costill (1994), prinsip-prinsip berikut adalah sangat penting:-
i) prinsip tambah beban.
ii) pengkhususan senaman.
iii) kebolehbalikan
iv) perbezaan individu.
Di samping prinsip di atas, terdapat beberapa faktor yang boleh memberi kesan ke atas peningkatan latihan (McArdle et al. 1996).
i) tahap kecergasan awal.
ii) frekuensi latihan
iii) intensiti latihan

Pemakanan

kita lihat faktor pemakanan tidak boleh disangsikan kepentingannya dalam meningkatkan prestasi. Kebanyakan kes yang melibatkan kemerosotan prestasi adalah akibat dari kelemahan program pemakanan. Oleh kerana itu, atlit perlu mengambil kira penggunaan pemakanan optima dalam program latihan mereka. Optima diet didefinisikan sebagai makan atau minum yang dapat memberikan semua keperluan nutrient mencukupi untuk pemeliharaan tisu, pemulihan dan perkembangan tanpa berlebihan (McArdle et al. 1996). Terdapat banyak cadangan jenis makanan yang boleh menyediakan keperluan nutrient untuk pemeliharaan tisu, pemulihan dan perkembangan. Badan atlit hendaklah ditala dengan begitu rapi akibat latihan yang berterusan. Bagi mencapai hasrat ini, atlit perlu memberi perhatian terhadap pemakanan yang sempurna, tidur dan rehat yang cukup.
Dewasa ini banyak terdapat bahan makanan berbentuk cecair dijual secara komersil. bahan ini menawarkan pendekatan yang praktik terhadap makanan sebelum pertandingan dan mengandungi banyak sumber pembekal tenaga. Makanan ini disarankan kerana mempunyai nilai kalori seimbang dan membantu proses penyerapan dengan cepat dan tidak meninggalkan sisa pada saluran penghadaman. Makanan sebelum pertandingan sepatutnya sedia dihadam dan memberikan tenaga yang diperlukan untuk senaman. Oleh itu makanan ini sepatutnya tinggi nilai karbohaiderat dan rendah dari segi kandungan lemak dan protin. Masa 2-3 jam adalah jangkasama yang sesuai untuk membenarkan penghadaman dan penyerapan berlaku.
Kesimpulan.
Sebenarnya kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepda kecergasan fizikal sahaja kerana terdapat banyak faktor lain yang terlibat dalam pembentukan seorang atlit yang berjaya. Pada kebaisanya atlit yang berlatih dan bersedia dengan rapi akan berjaya. Atlit mestilah secara sukarela menerima persaingan kerana pencapaian dalam sukan adalah hasil hasil dari pernyataan kebebasan personel. Faktor sosial, politik, identifikasi personel dan tindakbalas personel adalah faktor penting dalam menentukan perlakuan manusia (Hans Lenk 1984). Atlit bertaraf dunia biasanya merupakan mereka yang sukakan persaingan dan insan yang aktif. Oleh itu sukan membawa kepada peluang yang penting kepada individu yang sukakan aktiviti yang mencabar. Oleh kerana itu sukan membawa kepada peluang yang penting kepda individu yang sukakan aktiviti mencabar. Akhirnya atlit perlu mempunyai disiplin diri dan falsafah di samping kecergasan fizikal untuk muncul sebagai juara.

No comments: