SeLaMaT DaTaNg Ke BLog DuNiA SuKaN....

Saturday 18 June 2011

proses sosialisasi dalam sukan

Proses Sosialisasi Ke dalam Sukan.

                    Proses sosialisasi adalah ruang untuk individu bersosial dan saling berinteraksi dengan orang lain. Melalui proses ini, kita saling mengenali, mempelajari budaya dan menyesuaikan diri menjadi ahli dalam sesebuah masyarakat tersebut.
                   
Proses sosialisasi ini berlaku dengan dua cara iaitu proses sosialisasi ke dalam sukan dan proses sosialisasi melalui sukan.

                    Faktor pertama berlakunya proses sosialisasi ke dalam sukan ialah sukan dapat mempengaruhi pemindahan budaya sukan kepada seseorang individu. Misalnya dalam berpakaian. Sukan badminton adalah contoh yang jelas proses sosialisasi ke dalam sukan berlaku iaitu melalui pakaian pemain yang ditaja oleh Yonex. Maka dengan role model seperti Lee Chong Wei yang memakai pakaian tersebut, orang ramai yang meminatinya dan meminati sukan ini akan menggunakan jenama Yonex sebagai lambang semangat kesukanan di dalam diri individu terbabit.

                    Di samping itu, berlakunya proses sosialisasi ke dalam sukan ialah sukan dapat mendisiplinkan seseorang. Di mana setiap sukan yang wujud mempunyai peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi semasa sukan tersebut dimainkan. Dengan wujudnya peraturan sebegini maka individu yang terlibat secara langsung ke dalam sukan ini akan mempraktikkan sikap berdisiplin ini ke dalam diri mereka semasa bersukan. Maka, penerapan disiplin sebegini mempengaruhi sikap individu terbabit.

                    Selain itu, proses sosialisasi ke dalam sukan berlaku apabila kita menerima norma-norma dalam institusi sukan tersebut. Biasanya semasa bersukan kita akan lebih menghormati ketua pasukan. Rasa hormat yang wujud dalam diri individu kepada ketua pasukan menyebabkan kita terikut-ikut nilai yang ada pada dirinya. Misalnya, jika ketua pasukan kita menegah untuk tidak merokok maka sikap merokok di depan ketua tidak akan diamalkan.

                    Seterusnya, proses sosialisasi ke dalam sukan berlaku hasil daripada interaksi antara ahli pasukan dalam institusi sukan tersebut. Penglibatan dalam sukan membolehkan individu tersebut saling berinteraksi dengan ahli pasukan yang lain. Hal ini dapat ditunjukkan melalui kebebasan bersuara di kalangan ahli persatuan. Misalnya, jika kita tidak berpuas hati terhadap sesuatu pentadbiran persatuan kita boleh mengemukakan idea tanpa rasa bersalah.

                    Proses sosialisasi ke dalam sukan juga berlaku berdasarkan pembentukan atlet dalam acara yang dipertandingkan. Atlet yang dipilih untuk bertanding dalam sesuatu acara akan dipilih berdasarkan kemahiran dan sifat fizikal yang dimiliki. Misalnya, orang yang tinggi dan kurus cenderung terlibat dengan lompat jauh, bola tampar manakala bagi orang gemuk pula cenderung kepada acara sukan seperti lontar peluru dan bagi orang yang berotot cenderung kepada bole sepak, lari pecut.


            

Proses Sosialisasi Melalui Sukan.

                        Proses sosialisasi yang kedua adalah proses sosialisasi melalui sukan. Faktor utama proses sosialisasi melalui sukan ialah sukan sebagai alat mensosialisasikan individu terbabit. Elemen-elemen yang terdapat dalam peraturan sukan seperti sikap bekerjasama, berdisiplin, saling menghormati di antara individu serta mematuhi undang-undang dan peraturan dapat membantu untuk pembentukan sifat peribadi individu itu sendiri. Melalui sukan sikap individu dapat di bentuk dengan menunjukkan sikap yang baik, nilai-nilai murni, tingkahlaku yang terpuji dan kepimpinan individu terserlah. Melalui sukan juga perwatakan individu boleh berubah misalnya, jika dahulu seorang individu itu pendiam maka dengan mengikuti aktiviti sukan individu tersebut bertukar menjadi orang yang agresif. Tindakan agresif ini dapat dilihat dalam sukan ragbi dan gusti.
         
Di samping itu, proses sosialisasi melalui sukan ialah sukan sebagai alat untuk mengintegrasikan atlit-atlit atau ahli-ahli. Dalam pasukan tersebut akan terbentuk sikap saling membantu dan sentiasa memastikan pasukan menang dalam pertandingan sukan dengan mengamalkan sikap saling membantu. Sikap ini akan mewujudkan perpaduan di kalangan ahli-ahli pasukan.

Selain itu, proses sosialisasi melalui sukan ialah sukan tersebut berunsurkan motivasi kejayaan. Pasukan atau individu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan dalam pertandingan. Motivasi yang diterima sama ada berbentuk motivasi intrinsik atau pun motivasi ekstrinsik. Melalui motivasi dalam aktiviti sukan tersebut individu atau kumpulan pasukan akan bersama-sama untuk mengharumkan  nama negara  dan keluarga. Semangat ini didapati berkesan untuk mendorong atlet  mencapai kejayaan dalam sesuatu pertandingan. Misalnya dalam sukan badminton dan skuasy.

Seterusnya, proses sosialisasi melalui sukan juga ialah sukan sebagai alat pertahanan diri. Individu akan bersukan adalah untuk mempertahankan diri sama ada untuk mempertahan diri sendiri atau organisasi atau pun disebabkan faktor lain.  Dengan mempelajari kemahiran yang terdapat melalui sukan tersebut maka individu tersebut berasa lebih selamat. Misalnya individu boleh mempelajari seni mempertahankan diri dalam sukan seperti karate do, taekwondo, menembak dan memanah.  

Kesimpulannya, sosialisasi sukan melibatkan individu dan juga agen-agen sosialisasi hasil daripada proses sosialisasi ke dalam sukan dan proses sosialisasi melalui sukan.

No comments: