SeLaMaT DaTaNg Ke BLog DuNiA SuKaN....

Wednesday 13 July 2011

Szczesny hormati skuad negara

KUALA LUMPUR - Penjaga gol utama Arsenal, Wojciech Szczesny berkata, dia sudah bersedia berhadapan skuad Malaysia walaupun mengakui kurang arif mengenai Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal.
Jelas Szczesny, dia hanya mendapat maklumat yang rata-rata pemain skuad negara masih muda dan berumur di bawah 24 tahun.
Pun begitu, dia sesekali tidak akan memandang rendah terhadap keupayaan Malaysia yang diramal memberikan tentangan sengit kepada Arsenal.
''Sebelum kedatangan kami di sini, kami sempat diberitahu kesebelasan utama Malaysia terdiri daripada pemain-pemain muda.
''Saya jangkakan pasukan Malaysia akan memberikan kami satu ujian sukar pada perlawanan malam esok (hari ini).
''Namun, saya dan rakan-rakan akan menghadirkan satu persembahan terbaik untuk menang dan menghiburkan para peminat kami di sini," katanya secara eksklusif kepada Utusan Malaysia di Mid Valley, semalam.
Dia sebelum itu menghadiri program 'Gunners Challenge' anjuran Nike bersama tiga lagi rakan sepasukannya iaitu Jack Wilshere, Theo Walcott serta Alex Song dan turut meluangkan masa bertemu para peminat selama dua jam.
Szczesny merupakan penjaga gol nombor satu Arsenal musim lalu selepas kecederaan yang dialami oleh Lukasz Fabianski serta kemerosotan prestasi Manuel Almunia.
Dalam pada itu, penjaga gol yang berasal dari Poland itu menambah, dia terkejut dengan sambutan yang diterimanya sepanjang dua hari berada di Malaysia.
''Sambutan yang diterima daripada penyokong di sini cukup menakjubkan, tidak sangka kami mempunyai peminat yang ramai di sini.
''Malahan, kemudahan yang disediakan dan layanan diberikan oleh tuan rumah semuanya nampak baik," katanya.

Sumber:Utusan Malaysia

No comments: