SeLaMaT DaTaNg Ke BLog DuNiA SuKaN....

Friday 8 July 2011

Zaki, 'kanggaru' emas Sukan SEA

PADA era 90-an, kehebatan olahraga Malaysia pada Sukan SEA tiada tandingan. Tidak kira acara trek mahupun balapan, hampir setiap satunya ada ikon kebanggaan tersendiri. Jika acara 110 meter berpagar Malaysia memiliki Nur Herman Majid, Watson Nyambek dalam acara pecut, Loo Kum Zee dalam acara lompat tinggi, nama Zaki Sadri juga harus terpahat dalam sejarah era tersebut.

Anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu merupakan atlet emas acara lompat jauh dan lompat kijang yang sentiasa meletakkan nama negara di peta dunia, terutamanya di pentas Asia.Di peringkat Asia Tenggara, tiada siapa mampu menggugat Zaki. Tidak keterlaluan jika dikatakan sekurang-kurangnya dua pingat emas telah diraih secara automatik oleh kontinjen Malaysia menerusi Zaki sebelum bermula Sukan SEA. Lapan pingat emas dalam tujuh penyertaan Sukan SEA sejak membuat penampilan pertama pada 1987 di Jakarta, Indonesia, menceritakan kejaguhan Zaki.

"Di Jakarta 1987, ketika itu baru berusia 20 tahun, saya langsung tidak jangka dapat raih emas lompat kijang. Sejak itu saya tidak menoleh ke belakang dan emas kedua muncul dua tahun kemudian di Kuala Lumpur 1989.

"Di Kuala Lumpur, lompatan 16.29 meter masih kekal rekod kebangsaan sehingga hari ini. Ia juga merupakan rekod Sukan SEA pada waktu itu, namun diperbaharui pada 2001.

"Selepas itu di Manila 1991, saya mencuba nasib dalam satu lagi acara iaitu lompat jauh. Agak meletihkan untuk bertanding dalam dua acara, lagi pun teknik lompatan tidak sama.

"Namun usaha dan peluh yang dicurahkan sewaktu latihan berbaloi apabila saya menggondol emas berganda untuk Malaysia.

"Saya juga berjaya mencipta rekod baru Sukan SEA 7.79 meter (diperbaharui pada 2005)," katanya.

Zaki mempertahankan emas berganda di Singapura 1993, namun, segala-galanya tidak kena di Chiang Mai 1995 apabila beliau terpaksa berpuas hati dengan dua pingat perak. Dia mendakwa terdapat cubaan sabotaj oleh pegawai bertugas menyebabkan kekalahannya.
"Beberapa lompatan saya sempurna tetapi diputuskan pegawai sebagai foul. Sungguh kecewa sekali," katanya.

Zaki berjaya membalas dendam dua tahun kemudian di Jakarta 1997, menyaksikan beliau merampas kembali dua emas yang gagal diraih di Thailand, sekali gus menjadikan jumlah kutipan pingat emas peribadinya kepada lapan.Ia sepatutnya penampilan Sukan SEA terakhir, berikutan rancangannya untuk bersara selepas Sukan Komanwel 1998. Namun, kerana ketiadaan pengganti berwibawa, beliau terus menabur bakti untuk Malaysia di Brunei 1999.Namun, tiada lagi kilauan emas daripada Zaki yang ketika itu usianya sudah menjangkau awal 30-an.

"Prestasi saya sudah merosot, ia memang dijangka kerana persiapan saya tidak seperti dahulu. Selepas bersara, saya menghabiskan lebih banyak masa di pejabat, latihan tidak sekerap dulu.

"Syukur saya masih mampu menyumbangkan pingat gangsa acara lompat kijang. Paling menyedihkan saya ialah pada Sukan SEA Kuala Lumpur pada 2001.

"Saya berazam untuk bersara sepenuhnya dari arena olahraga dengan penuh gemilang di tanah air, tetapi lain pula jadinya. Selepas lompatan kedua, saya tidak dapat meneruskan saingan kerana mengalami kecederaan, Ia sungguh mengecewakan," ujarnya.

Zaki kini bekerja sebagai Penyelaras Sukan Jabatan Korporat Petronas Pantai Timur di Kemaman, Terengganu.Di pentas Sukan Komanwel, Zaki turun bertanding di Auckland, New Zealand, Victoria, Kanada, dan Kuala Lumpur namun beliau nyata bukan tandingan jagoan bertaraf dunia. Zaki merupakan antara empat pelompat terbaik di Asia.

"Sukan Asia 1990 di Beijing adalah pencapaian terbaik saya pada Sukan Asia. Namun kejohanan itu mencetuskan rasa terkilan. Saya berada pada kedudukan pingat gangsa ketika itu, namun dipintas pada lompatan akhir oleh atlet Korea Selatan," katanya.

Selain berkhidmat untuk Petronas, Zaki kini juga bertugas Ketua Jurulatih Olahraga Terengganu sejak 2006.
"Saya cintakan sukan olahraga. Jadi selepas bersara, saya terus mencurahkan tenaga untuk negara.
"Tugas saya ialah mencungkil bakat baru untuk Terengganu yang dapat menyumbang kepada pembangunan sukan olahraga negara.

"Saya mahu melihat atlet Terengganu mewakili Malaysia satu hari nanti," katanya, yang juga merupakan bapa angkat kepada atlet pecut remaja kebangsaan, Zabidi Ahmad.

Sumber: Utusan Malaysia (09.07.2011)

No comments: