SeLaMaT DaTaNg Ke BLog DuNiA SuKaN....

Friday 1 July 2011

Persatuan sukan dari segi kelemahan dan peningkatan prestasi.

Sukan merupakan satu agenda penting dalam sebuah negara, masyarakat malah individu itu sendiri. Merujuk kepada pendapat Boyle (1963) menyatakan sukan itu wujud untuk seluruh masyarakat malah melaluinya akan terdapat unsur-unsur status, hubungan ras, perniagaan, reka bentuk, alat-alat automotif, gaya pemakaian, konsep hero (wira), bahasa, etika dan nilai-nilai estetika.
Dengan itu, adalah wajar melalui sukan maka sebuah atau seseorang itu menjadi terkenal. Namun, adalah menyedihkan sekiranya sukan tersebut tidak mendapat pengiktirafan selayaknya hanya kerana pengurusan persatuan yang pincang dan masih ditakuk lama.
Berdasarkan artikel yang dilampirkan, sukan di Malaysia masih tidak menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan seperti mana era sukan yang terdahulu. Sejak akhir ini, sukan di Malaysia  hambar dan tidak dapat dibanggakan. Misalnya, kekalahan demi kekalahan diterima bermula daripada Piala Asia 2007 apabila skuad kebangsaan dibelasah oleh skuad China 5-1 pada 10 Julai hinggalah akhirnya kekalahan memiliki juara dunia pertama selepas 30 tahun menanti tidak kesampaian di Kejohanan Dunia Badminton yang telah diadakan di gelanggang sendiri gagal dikotakan. 
Di samping itu, artikel sukan ini mempersoalkan bahawa dengan jawatan ahli politik dalam sesebuah Persatuan sukan menyebabkan sukan tersebut sukar untuk bertahan lama dan terus selesa berada di takuk lama tanpa adanya perubahan yang mampu diiktiraf dunia. Ini jelas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengeluarkan kenyataan bahawa penglibatan ahli politik dalam sukan sememangnya tidak mampu untuk pembangunan sukan ke landasan sukan yang sebenar. Beliau sendiri telah mengarahkan Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen agar tidak lagi memegang jawatan dalam Persatuan sukan. Keputusan ini adalah wajar diterapkan dalam senario sosiologi sukan negara kita.  Ini kerana, penglibatan ahli politik dalam sukan adalah tidak bersesuaian kerana mereka sukar untuk menumpukan sepenuh perhatian untuk pengurusan persatuan disebabkan oleh faktor kesibukan kerja politik mereka sendiri.
Dalam pada itu, ramai ahli psikologi dan pakar kejurulatihan sukan (Chelladurai, 1984; Gross, 1990; Lee, 1986; Weiss & Friedrichs, 1986) berpendapat bahawa gaya dan tingkah laku kepemimpinan jurulatih merupakan faktor yang penting dalam usaha meningkatkan pencapaian atlet Situasi di Malaysia adalah kelemahan dan masalah yang timbul apabila ahli politik menerajui kepemimpinan persatuan sukan maka kepimpinan jurulatih lebih berpegang konsep daulat dan tidak melawan orang atasan yang telah menjadi budi bahasa negara kita sendiri. Apabila menteri besar atau kerabat diraja memegang jawatan presiden maka apabila presiden membuat keputusan orang bawahan terpaksa akur dengan keputusan yang telah dibuat. Hal ini jelas berlaku dalam senario sukan di Malaysia yakni dalam mesyuarat persatuan sukan kita, hanya satu pihak yang memberi pandangan yang mana pendapatnya akan mampu mempengaruhi keputusan yang bakal dibuat. Sepatutnya, persatuan sukan yang berjaya perlu duduk bersama dan membincangkan secara terbuka segala pandangan yang dikemukakan biarpun terdapatnya banyak pandangan dan idea yang dilahirkan hinggakan mesyuarat tersebut berlangsung dua atau empat jam.
Kajian-kajian telah membuktikan bahawa presiden atau jurulatih mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar dalam hubungannya dengan atlet (Carron, 1979; Cratty, 1989; Thompson, 1992). Dalam teori pengurusan, perbezaan status antara presiden dan ahli jawatankuasa yang lain akan menimbulkan konflik dan agak menyukarkan kerana wujudnya pandangan yang berbeza. Oleh itu, persatuan sukan yang dipresidenkan oleh ahli politik akan mencetuskan perasaan malas untuk bersuara bagi jurulatih-jurulatih utama sukan tersebut. Hal inilah yang amat merugikan perkembangan dunia sukan kita pada masa ini. Walaupun jurulatih tahu terdapatnya  kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi kerana adanya dasar hormat dan perbezaan status kepada orang yang lebih berpengaruh maka timbul perasaan ‘biarlah’, ‘malaslah’ dan sebagainya. Akibatnya, para atlet yang diasuh akan ketinggalan dan sentiasa di takuk lama.
Manakala menurut House (1971), House dan Dessler (1971), tingkah laku pemimpin mempunyai banyak kesan langsung ke atas keadaan psikologi orang-orang bawahan yang dipercayai mempengaruhi motivasi sebagai daya penggerak ke arah perolehan dan pencapaian matlamat organisasi. Amalan biasa ahli politik dan orang kenamaan menjadi sumber memberi sumbangan tetapi bukan sebagai presiden. Ahli politik dan orang kenamaan masih diperlukan untuk membantu mendapat tajaan dan derma. Hal ini jelas dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), apabila Presiden FAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, telah berusaha untuk mendapat penajaan daripada syarikat telekomunikasi gergasi, Telekom Malaysia Berhad, Malysian Airline System Berhad (MAS), Genting dan Adidas. Baginda sendiri sentiasa memastikan FAM terus memperoleh wang untuk mentadbir dan menguruskan segala perancangan walaupun pernah kehilangan tajaan bernilai RM30 juta daripada Dunhill selepas larangan iklan dan tajaan rokok dikuatkuasakan pada 2005.  
Seterusnya, persatuan sukan sendiri haruslah memikirkan cara tersendiri untuk keluar dari kemelut ini sendiri. Menteri sukan sendiri perlu memikirkan cara terbaik untuk memastikan persatuan sukan di Malaysia harus dapat dibanggakan dan boleh menembusi sukan dunia. Jangan hanya berharap dengan Nicol Ann David dalam sukan Skuasy dan pemain-pemain boling negara. Setakat manalah kekuatan mereka jika asyik mereka yang turun padang untuk menyumbang kepada sukan negara kita.  Seharusnya pelapis perlu diwujudkan mulai sekarang. Jangan sampai tahap sudah terhantuk baru terngadah.
Oleh itu, artikel ini juga telah menjelaskan dan mewar-warkan sekolah sukan merupakan medan terpenting untuk melahirkan atlet yang berbakat. Janganlah kita asyik berharap dengan penglibatan ahli politik. Sebaiknya, penglibatan ahli politik hendaklah dihadkan. Apabila mengutarakan masalah sukan di negara kita, semua agensi yang berkaitan dengan sukan adalah terlibat sama seperti Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM). Peranan agensi ini  perlu meliputi semua jenis sukan dan cara pentadbiran. Misalnya, MSSM merupakan lubuk untuk melahirkan atlet baru. Kalau tak ada MSSM, tidak ada atlet.
Selain itu, sekolah sukan memainkan peranan penting. Misalnya, sukan sepak takraw, kalau tidak diajar di sekolah bagaimana kita hendak melahirkan pemain yang boleh mengalahkan Thialand. Begitu juga dengan bola sepak. Ajar pelajar asas seperti menyepak. Kalau kita lihat cara permainan pemain kita, masih ada yang tak dapat menyepak bola dan membuat hantaran dengan baik. Jadi jelaslah sekolah sukan merupakan agen utama yang perlu dipandang serius oleh persatuan sukan di Malaysia sebagai tempat untuk membetulkan perkara yang masih tidak betul dan pincang itu.
Di samping itu, persatuan sukan seperti MSSM memainkan peranan penting bagi memastikan pengajaran pendidikan jasmani mengikut kurikulum yang ditetapkan oleh kementerian. Ia adalah merupakan masalah asas yang jika dibiarkan berlarutan maka hancurlah sukan di Malaysia. Perkara remeh beginilah yang selalu dipandang sebelah mata bagi persatuan sukan. Misalnya, kalau tiada kemahiran asas, bagaimana kita nak ada bakat yang boleh digarap untuk mewakili pasukan negara.Jadi, keperluan ini harus diambil perhatian sewajarnya.
Antara lain yang boleh kita pastikan agar persatuan sukan dapat ditingkatkan ialah dengan melibatkan ibu bapa pelajar itu sendiri. Dengan mengambil contoh di Amerika Syarikat yang mana ibu bapa sendiri yang menawarkan diri untuk menjadi jurulatih kepada anak-anak mereka. Ibu bapa akan meluangkan waktu petang atau hujung minggu untuk turun ke sekolah sendiri untuk bersama-sama anak mereka berlatih. Malah pemain dunia sendiri iaitu David Beckham telah meneruskan tradisi ini di sekolah anaknya.
Atlet-atlet mempunyai motif untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi seandainya mereka didorong dengan gaya dan tingkah laku kepemimpinan yang berkesan. Begitu juga halnya dengan tingkah laku kepemimpinan jurulatih yang berkesan dapat memuaskan keperluan-keperluan dan kehendak atlet (Chelladurai, 1990; Singer, 1977). Persatuan sukan yang berjaya diuruskan dengan baik, dapat melahirkan atlit bertaraf dunia. Di negara kita, perkara ini dapat dilihat dalam permainan seperti skuasy dan bowling padang yang diuruskan dengan baik. Persatuan ini berjaya berlaku apabila kepempinan persatuan benar-benar hadir dan berminat terhadap sukan itu. Misalnya, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid yang merupakan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, sangat berminat terhadap bowling padang hingga dia boleh menulis buku mengenai bowling padang. Orang seperti inilah yang diperlukan oleh negara. Mempunyai latar belakang sukan, berminat dan mempunyai pengalaman pengurusan. Sukan ini berjaya kerana pemegang pucuk pimpinannya memang layak. Contoh lain seperti, Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Datuk A Sani karim yang juga berminat terhadap sukan ini.
Peningkatan prestasi persatuan sukan perlu komitmen. Jangan hanya ada pejabat tetapi malangnya tak pernah dibuka dan pemimpinnnya bertaburan di beberapa negeri. Berdasarkan keadaan ini, maka kita boleh menilai pentadbiran persatuan itu. Seharusnya, persatuan sukan lain di Malaysia khasnya perlu mencontohi Persekutuan Lawn Bowls. Persatuan ini telah berjaya mengetengahkan bakat dan juga mempunyai pelapis yang menunjukkan kecemerlangan. Sewaktu Ahmad Sarji menjadi Ketua Setiausaha Negara, beliau telah memperkenalkan idea dan telah diterapkan dalam persatuannya. Misalnya, Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja dan konsep pengurusan secara objektif. Dengan penubuhan idea ini perbincangan mengenal pasti dan menyelesaikan masalah sendiri serta menetapkan apa yang hendak dilakukan dan dicapai dilakukan dalam persatuan ini. Hasilnya, bowling padang dari sukan yang tidak dikenali menjadi sukan yang berprestij kini juga penyumbang utama paling banyak pingat emas dalam sukan Komanwel.
Begitu juga dengan pemilihan jurulatih. Keputusan mengenai program dan pemilihan jurulatih malah pemain perlu diwujudkan panel yang dianggotai bekas pelajar, pemain, jurulatih, bekas guru dan ibu bapa bagi memastikan keperluan guru, atlit dan pelajar diambil kira. Untuk meningkatkan prestasi sukan, kita memerlukan kerjasama semua pihak yang berkepentingan dalam sukan. Golongan ini bukan hanya ahli politik atau kerabat diraja tetapi rakyat. Ibu bapa perlu digalakkan melibatkan diri agar mereka berpandangan  bahawa sukan sama pentingnya dengan akademik.
Sebagai kesimpulannya, masalah sukan di negara kita akan dapat hidup semula apabila persatuan sukan di Malaysia diterapkan dengan budaya sains sukan. Bagaimana hendak membuat keputusan, sama ada program latihan, pemilihan pemain hingga ke peringkat pengurusan. Kita tidak boleh membuat andaian semata-mata. Negara lain seperti Korea Selatan pernah kalah dalam Piala Asia dan mereka telah mengkaji punca dan mengambil tindakan sewajarnya dengan melibatkan kebanyakan pensyarah dan profesor sukan malah bekas pemain yang menang pingat Sukan olimpik. Begitu juga dengan Australia telah menubuhkan Institut Sukan Australia untuk menerapkan sains sukan dalam pembangunan sukan. Sekarang Australia menang juara dunia dalam banyak jenis sukan, ragbi, hoki lelaki dan prempuan, kriket, bola jaring, tenis dan olahraga.   Dengan ini, Malaysia perlu bangkit dengan semangat baru, buat pembaharuan dan sentiasa menerapkan budaya sains sukan demi mengharumkan nama negara di mata dunia.
 
Rujukan
  1. Berita Minggu. 5 Ogos 2007. Kita gagal kerana Tak Terap Budaya Sains Sukan.
  2. Mingguan Malaysia. 22 Julai 2007. Bola Sepak Boleh Bangkit Semula.
  3. Mohd Yusof Abdullah dan rakan-rakan(2005). Sport Science as the Catalyst of Quality Sports Perfomance. School of Education and Social Deveploment: Universiti Malaysia Sabah and Ministry Of Youth And Sports Sabah.


 Artikel ini daripada surat khabar Berita Harian yang bertarikh 22 Ogos 2007 (rabu),yang mana membincangkan tentang Persatuan sukan kena kaji kelemahan, tingkat prestasi. Artikel ini telah ditulis sempena Kemerdekaan Negara ke-50 dan dikaitkan dengan sosiologi sukan Malaysia. Artikel ini merupakan sebuah artikel yang mampu menarik perhatian pelbagai pihak tentang kemelut sukan negara kita.

No comments: